JAKARTA: Seorang wanita di Indonesia bertindak menggoreng ikan peliharaan suaminya selepas lelaki itu enggan mencuci akuarium di rumahnya.
Lapor Daily Star, Mia Kurniawan berkata, dia sering meminta suaminya untuk membersihkan akuarium berisi ikan peliharaan Arowana itu, namun lelaki tersebut tidak mempedulikannya.
Malah, kata Mia, suaminya kerap kali berjanji untuk mencuci akuarium tersebut namun akhirnya dia yang terpaksa membersihkan tangki ikan itu.
Akibat berang dengan sikap suaminya, Mia menggoreng ikan Arowana tersebut.
Dia juga merakam dan memuat naik video kejadian itu di laman media sosial.
Video tersebut ditonton lebih 3.9 juta kali di laman TikTok.
Sementara itu, Mia mendakwa dia menggoreng ikan peliharaan suaminya kerana ia mabuk.
“Gara-gara suruh suami mencuci akuarium tinggal janji sahaja, saya juga yang terpaksa membersihkannya sendiri.
“Tetapi, ikan ini menjadi mabuk dan saya rasa ia lebih enak jika saya menggorengnya,” katanya. – AGENSI