GLASGOW: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan amaran tegas bumi akan mengalami kenaikan suhu purata 2.7 darjah Celcius berdasarkan komitmen semasa mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Amaran itu dikeluarkan oleh United Nation Environment Programme (UNEP) beberapa hari menjelang Persidangan Perubahan Iklim COP26 di Glasgow, Scotland.
Usaha mengurangkan pencemaran karbon dilihat masih lemah dan ‘janji yang belum ditunaikan’.
Pengarah Eksekutif UNEP, Inger Anderson berkata, negara G20 bertanggungjawab terhadap 78 peratus semua pelepasan tersebut.
“Negara-negara maju bertanggungjawab terhadap peningkatan itu dan sebenarnya semua 193 negara anggota melakukannya,” katanya.
Menurut Anderson, tindakan segera perlu dilakukan sekarang kerana kebanyakan negara yang berikrar menangguhkan perkara itu sehingga 2030.
Jelasnya, situasi itu terlalu lewat dan kerosakan terburuk akan berlaku akibat perubahan iklim.
Persidangan COP26 menjadi peluang terakhir untuk meletakkan dunia di landasan untuk mengehadkan tahap pemanasan kepada 1.5 Celcius melebihi tahap pra-industri.
Saintis menjelaskan usaha itu dapat membantu mengelakkan perubahan bencana paling teruk seperti ribut, kebakaran hutan dan banjir di seluruh dunia.