LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya dua orang maut dan dua lagi cedera selepas sebuah pesawat ringan terhempas di sebuah kawasan perumahan di California, Amerika Syarikat (AS).
Lapor Anadolu Agensi, nahas pesawat ringan menggunakan enjin berkembar Cessna 340 itu berlaku kawasan kediaman pinggir bandar Santee, kira-kira 30 kilometer (km) timur laut San Diego.
“Ketika ini, dua orang meninggal dunia dan dua lagi mangsa dikejarkan ke hospital.
“Keadaan mereka belum dapat dipastikan,” kata seorang pegawai di Santee menerusi Twitter.
Jelas pegawai itu, bekalan elektrik terpaksa dihentikan di kawasan berhampiran.
“Serpihan pesawat bertaburan di sekitar lokasi terhempas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba, John Garlow memberitahu USA Today, tiga rumah mengalami kerosakan manakala dua rumah terbakar dalam kejadian tersebut. – AGENSI