TEXAS: Seorang wanita tidak menyangka perut buncit yang dialaminya adalah disebabkan oleh ketumbuhan seberat 7.7 kilogram.
Pada mulanya, Amanda Shoultz menyangka berat badannya meningkat sehingga menyebabkan perutnya semakin buncit.
“Saya ingat perut saya buncit kerana pengumpulan lemak degil memandangkan saya juga menambah berat badan.
“Saya mula mengalami masalah perut buncit itu pada Januari lalu,” katanya kepada New York Post.
Sehubungan itu, Shoultz kerap melakukan senaman bagi mengempiskan perutnya, selain mengamalkan makanan rendah lemak.
“Saya mula kehilangan berat badan, namun perut saya tetap buncit dan hal itu amat merunsingkan.
“Tidak tahan dengan situasi yang dialami, saya berjumpa doktor pada Ogos lalu dan mendapati ada tumor sebesar 30.5 sentimeter tumbuh di bahagian buah pinggang kanan dan kelenjar adrenal,” ujarnya.
Kemudian, doktor mengesahkan wanita itu menghidap ‘liposarcoma’ iaitu kanser jarang berlaku yang tumbuh dalam tisu lemak.
Shoultz kemudiannya menjalani pembedahan dan mengeluarkan tumor seberat 7.7 kilogram atau sama seperti saiz bayi berusia tujuh bulan.