Detik hitam di Guantanamo - Utusan Malaysia

Detik hitam di Guantanamo

TAHANAN al-Qaeda dan Taliban memakai kostum berwarna oren dan dipantau rapat oleh tentera AS di kem tahanan Teluk Guantanamo, Cuba.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORT MEADE: Seorang banduan Teluk Guantanamo yang menjalani soal siasat kejam oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) selepas serangan 11 September mendedahkan pengalaman dirinya secara terbuka buat kali pertama.

Luahnya, sehingga sekarang dia dibelenggu ketakutan dan kerap berhalusinasi selepas disoal siasat oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA), lapor AP.

Majid Khan, 41, merupakan bekas penduduk pinggir bandar Baltimore yang menjadi anggota Al-Qaeda.

Dia pernah digantung dalam keadaan berbogel dari siling dengan tempoh yang lama serta disiram berulang kali dengan air sejuk beku bagi memastikan dia terjaga selama beberapa hari.

Penderitaan itu tidak terhenti setakat itu sahaja, apabila kepalanya direndam di dalam air sehingga hampir lemas.

Lelaki itu dipukul, diserang secara seksual dan dibiarkan kelaparan di sebuah lokasi penjara yang dirahsiakan.

Majid memberitahu pihak hakim yang mempertimbangkan hukumannya kerana jenayah perang, bagaimana dia mengalami penderaan yang menyakitkan setiap hari di fasiliti rahsia CIA yang dikenali sebagai ‘tapak hitam’.

“Saya terpaksa merayu supaya mereka hentikan penderaan tersebut.

“Sekiranya saya mempunyai maklumat, sudah tentu saya akan beritahu. Namun, saya tidak mempunyai apa-apa maklumat. Saya hanya fikir akan mati ketika itu,” luahnya.

AS masih menahan seramai 39 lelaki di pusat tahanan di Guantanamo.

HUKUMAN RINGAN BAGI KERJASAMA

Majid adalah rakyat Pakistan yang dilahirkan di Arab Saudi, sebelum datang ke AS bersama keluarganya 1990 dan diberikan suaka.

Lelaki itu membaca kenyataan setebal 39 muka surat semasa hari pertama sesi perbicaraan di kem pangkalan AS di Cuba.

Panel juri terdiri daripada pegawai AS yang dipilih oleh pegawai undang-undang Pentagon boleh mengenakan hukuman penjara selama 25 hingga 40 tahun kepada lelaki itu.

Namun, dia akan dikenakan hukuman penjara lebih rendah kerana bekerjasama dengan pihak berkuasa AS.

Hukuman Khan akan dikurangkan di bawah tempoh 11 tahun selepas mengaku bersalah, Februari 2012.

Ini bermakna, dia akan dibebaskan awal tahun depan dan ditempatkan semula di negara ketiga yang belum diketahui lokasinya.

Hal ini kerana dia tidak boleh kembali ke Pakistan, walaupun mempunyai kewarganegaraan di negara itu.

Majid dikurung selama tiga tahun di ‘tapak hitam’ CIA dan dibawa ke Guantanamo, September 2006.

Katanya, dia tidak pernah melihat cahaya matahari di ‘tapak hitam’ tersebut serta tidak mempunyai hubungan dengan sesiapa selain pengawal dan penyiasat, sejak ditangkap sehingga berada selama enam tahun di kem tahanan tersebut.

Lelaki itu mengaku menjadi anggota Al-Qaeda dan terlibat dalam perancangan beberapa plot di sana, walaupun tidak pernah dilakukan.

Majid membuat pengakuan bersalah berhubung tuduhan konspirasi, pembunuhan dan memberikan sokongan material kepada keganasan dalam perjanjian yang mengehadkan hukumannya sebagai pertukaran kerjasama dengan pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya