JAKARTA: Didi Mahardika, cucu kepada Presiden pertama Indonesia, Sukarno, mendakwa datuknya itu dibunuh ketika tinggal di Wisma Yasoo, Jakarta.
CNN Indonesia melaporkan, Didi membuat kenyataan itu dalam wawancara bersama YouTuber, Nanda Persada di saluran YouTube V Entertainment yang diakses malam tadi.
Pada mulanya, Nanda bertanyakan mengenai alasan Didi membuat video muzik TRAH berjudul Untuk Indonesia Raya di beberapa lokasi ikonik di Jakarta seperti Rumah Cilandak, Bulatan HI, Gelora Bung Karno dan Muzium Satria Mandala.
“Muzium Satria Mandala atau Wisma Yasso? Saya mulai datang ke Satria Mandala atau apa yang dikenali sebagai Wisma Yasoo. Wisma Yasso adalah tempat ‘istirahat’ terakhir Bung Karno, seolah-olah dia diasingkan, betul, dia tidak diberi kesempatan untuk membela diri di Mahkamah atau apa sahaja, seperti diasingkan,” kata Nanda.
Didi segera menarik kata-kata Nanda dan mengatakan Sukarno tidak hanya diasingkan tetapi dibunuh di tempat itu.
“Bukan hanya diasingkan, tetapi di situlah bapa kita, bapa bangsa, bapa proklamator kita, yang memperjuangkan kita semua, dibunuh di situ. Dibunuh, ya, banyak orang harus tahu,” kata Didi.
Nanda kemudian menyoal kenyataan Didi sekali lagi dan Didi mengesahkan bahawa dia pasti akan kejadian itu.
“Adakah saya perlu mengulanginya lagi? Jika mahu ada yang bertanya, mungkin mereka boleh bertanya kepada sejarawan. Dan sejarawan yang dapat menceritakan apa adanya,” jelas Didi.
Lebih lanjut, Didi mengatakan Muzium Satria Mandala sekarang, dulunya adalah Wisma Yasoo dan keberadaan Wisma Yasoo cuba untuk ditutupi dengan mengubah nama menjadi Muzium Satria Mandala.
Malah Didi mengaku pernah berbicara dengan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto mengenai Wisma Yasoo.
“Mengapa dihilangkan Wisma Yasoo? Seperti mahu mengubah sejarah,” katanya.
Sejarawan Universiti Gadjah Mada, Wildan Sena Utama berkata, Suharto mula mengasingkan Sukarno daripada kegiatan politik setelah melakukan kudeta.
Jelasnya, usaha Suharto adalah sebahagian daripada ‘de-Sukarnoization’ bertujuan mengurangkan pengaruh dan ingatan masyarakat terhadap Bung Karno.
“Kegiatan politik dan kegiatan hariannya diawasi oleh negara,” katanya kepada CNN Indonesia.
Wildan berkata, Sukarno kemudian tinggal di Wisma Yasoo sehingga meninggal dunia.
Jelasnya, ketika itu Sukarno menerima perlakuan tidak berperikemanusiaan daripada rejim.
Sejarawan Universiti Indonesia, Bondan Kanumoyoso pula berkata, ada percubaan oleh rejim ketika itu untuk mengabaikan Sukarno ketika dia sakit sebelum meninggal dunia.
Ketika dia sakit, jelasnya, Sukarno sebenarnya mendapat layanan kesihatan di bawah standard walaupun statusnya adalah bekas Presiden.
Senada dengannya, sejarawan Andi Achdian berkata, dakwaan Sukarno dibunuh atau tidak ketika di Wisma Yasoo masih menjadi perdebatan.