LONDON: Semakin banyak kerajaan di seluruh dunia kini mewajibkan vaksin Covid-19 ketika varian Delta terus menimbulkan ancaman besar dan kadar vaksinasi dalam kalangan beberapa komuniti mula menjadi perlahan.
Lapor Al Jazeera, New Zealand yang meminggirkan strategi ‘sifar Covid-19’ di tengah-tengah jangkitan berterusan, tampil memperkenalkan dasar drastik ‘tiada vaksin, tiada kerja’ bagi para doktor dan guru pada minggu lalu.
Fiji menegaskan semua pekerja di sektor awam dan swasta boleh kehilangan pekerjaan sekiranya mereka gagal mendapatkan suntikan vaksin sepenuhnya sehingga November ini.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, Presidennya, Joe Biden mengumumkan mandat vaksin Covid-19 bagi sebahagian besar kakitangan kerajaan Persekutuan pada bulan lalu.
Biden juga mengarahkan majikan memiliki perniagaan besar perlu mewajibkan pemberian vaksin kepada pekerjanya atau melakukan ujian saringan setiap minggu.
Di Arab Saudi, semua pekerja di sektor awam dan swasta yang sudah menerima vaksin dibenarkan kembali ke pejabat.
Malah, mana-mana individu yang mahu memasuki premis kerajaan dan sekolah atau ingin menggunakan pengangkutan awam atau melakukan perjalanan ke luar negara harus menunjukkan bukti sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Di Itali pula, satu dasar yang berkuatkuasa Jumaat lalu menetapkan semua pekerja sama ada menunjukkan bukti vaksinasi, imuniti atau ujian saringan negatif Covid-19 dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan untuk bekerja.
Pekerja yang tidak memiliki ‘Pas Hijau’ bakal dihukum termasuk boleh digantung kerja dan gaji mereka mungkin dihentikan selepas lima hari.
Pas itu juga diwajibkan untuk makan di restoran, memasuki panggung wayang, muzium, gim serta menaiki kereta api, bas dan kapal terbang.
Inisiatif yang diambil oleh beberapa negara itu mencetuskan protes, dicabar di mahkamah dan dalam beberapa kes turut dikritik oleh ahli politik tempatan.
Sementara itu, seorang profesor undang-undang hak asasi manusia di University of Liverpool, Kanstantsin Dzehtsiarou berpandangan mandat vaksin melibatkan isu hak asasi manusia.
Bagaimanapun, Dzehtsiarou berkata, hak berkenaan bukan mutlak yang mana kerajaan masih boleh campur tangan sekiranya ia diperlukan dan bagi tujuan menjaga keselamatan rakyat. – AGENSI