RIYADH: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Arab Saudi maut akibat dipatuk ular berbisa ketika sedang bersiap sedia untuk ke sekolah.
Lapor The Sun, Tamara Abdul Rahman dipatuk seekor ular di bilik mandi di rumahnya di bandar Abha, Arab Saudi.
Tamara dikejarkan ke Asir Central Hospital dan diberi rawatan sehingga keadaannya stabil.
Namun, keadaan kesihatan kanak-kanak itu merosot sehingga dia terpaksa dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan akhirnya meninggal dunia.
Menurut bapa Tamara, anaknya dipatuk ular ketika sedang mandi.
Katanya, Tamara berasa teruja untuk kembali ke sekolah susulan pelonggaran perintah berkurung.
“Dia gembira dapat pergi ke sekolah namun apa yang boleh dikatakan, semuanya kehendak Allah.
“Ular itu berlingkar di bilik mandi dan anak saya tidak sedar reptilia berbisa itu berada di sana sehingga dipatuk,” katanya.
Bapa Tamara berkata, keluarganya terkejut selepas mendapati ular berada di bilik mandi di rumahnya yang terletak di sebuah bandar yang padat dengan penduduk.
“Tamara dibawa ke hospital namun nasib tidak menyebelahinya, anak saya meninggal dunia walaupun menerima rawatan perubatan,” katanya.