MINSK: Duta Besar Perancis ke Belarus dilaporkan sudah meninggalkan negara ini selepas kerajaan Minsk mengarahkan beliau untuk berbuat demikian.
Seorang jurucakap kedutaan mengesahkan bahawa Nicolas de Lacoste telah meninggalkan Belarus semalam.
Menurut jurucakap itu, duta berkenaan diarahkan untuk meninggalkan negara sebelum Isnin.
“Kementerian Luar Belarus mengarahkan duta meninggalkan negara ini sebelum 18 Oktober.
“Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan kedutaan dan merakam mesej video untuk rakyat Belarus yang akan disiarkan menerusi laman sesawang kedutaan esok,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan punca Belarus mengarahkan Lacoste meninggalkan Minsk.
Beberapa media tempatan melaporkan Lacoste enggan bertemu dan menyatakan kepercayaannya kepada Presiden Alexander Lukashenko.
Sebaliknya, Lacoste bertemu dengan Menteri Luar Belarus Vladimir Makei pada Disember lalu.
Seperti negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain, Perancis tidak mengiktiraf tuntutan Lukashenko sebagai presiden bagi penggal keenam selepas pilihan raya lalu yang didakwa berlaku penipuan undi. – AFP