SINGAPURA: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan menjadi antara yang termuda dijangkiti Covid-19 di negara ini.
Berita Mediacorp dimaklumkan bayi bernama Aaisyah Humaira Muhd. Firdaus itu sudah bebas Covid-19 selepas enam hari dirawat dan kini beransur sembuh di rumah.
Menurut ibunya, Siti Hawa Mohd. Najib, beliau bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan anaknya disahkan positif Covid-19.
“Sebenarnya Aaisyah dapat jangkitan dari kakaknya, Aqilah Shazwani, anak saya 12 tahun. Dua hari selepas Aqilah kena, dia mula rasa simptom-simptomnya. Selalu dia akan muntah.
“Tapi pada hari tersebut, malam sebelumnya dia mula muntah terlalu banyak. Itulah bila kita tengok, ini tak normal,” cerita Siti Hawa kepada Berita Mediacorp.
Siti Hawa sekeluarga yang pada ketika itu menjalani perintah berkurung setelah Aqilah disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani program pemulihan di rumah. Beliau kemudian menghubungi ambulans untuk membawa Aaisyah atau lebih manja dipanggil Aisy ke hospital.
“Aisy kena ambil darah kemudian buat lagi swab PCR. Jadi untuk budak-budak saya rasa terlalu kesian sebab ia masuk sampai ke dalam. Jadi saya pun ikut nangis sebab naluri seorang ibu saya rasa ini terlalu banyak untuk saya tangani,” tambah beliau.
Bayi itu dimasukkan ke unit jagaan rapi neonatal, tapi oleh kerana sangat kecil tiada ubat anti-Covid-19 dapat diberikan.
Siti Hawa sendiri turut disahkan positif kerana berjangkit dari bayinya.
“Hari-hari pertama, Aisy tidur sahaja, terlalu penat. Minum pun tak tentu. Macam masanya (minum) selalu setiap tiga jam, ia akan meleret sampai lima enam jam sebab dia tak ada rasa nak minum. Jadi dia lebih tidur dan merengek kerana agaknya badannya sakit, tekaknya sakit.” katanya.
Kisah Aisy dengan cepat tular di media sosial selepas ibunya memuat naik satu catatan yang merayu orang ramai mendoakan anaknya.
“Kawan saya cakap marilah kita minta doa orang ramai. Kita minta satu Singapura doakan anak awak oleh kerana anak awak yang paling kecil yang kena mungkin, dia cakap begitu.
“Dan tak sangka selain minta doa, saya sedang meningkatkan kesedaran yang Covid-19 benar-benar terjadi kepada keluarga kita juga,” jelas beliau.
Mujur perjuangan Aisy untuk bebas Covid-19 tidak lama. Selepas enam hari sahaja di hospital, Siti Hawa dan Aisy disahkan bebas dan dibenarkan pulang.
Siti Hawa, yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan semput cukup bersyukur mampu sembuh dengan cepat kerana sudahpun mendapat suntikan vaksin.
Sehingga kini beliau dan suami masih tidak tahu dari mana Aqilah dijangkiti Covid-19.