LONDON: Syarikat teknologi gergasi, Amazon memperkenalkan robot pintar kediaman yang dilengkapi dengan teknologi pembantu maya Alexa.
Robot yang dikenali sebagai Astro boleh dikendalikan dari jauh untuk ‘mengintip’ ahli keluarga dan haiwan peliharaan serta memastikan rumah sentiasa selamat ketika pemilik tidak berada di kediaman.
Lapor BBC, menurut Amazon, robot pintar itu juga mampu bergerak secara automatik mengelilingi dan memantau rumah serta menghantar mesej notifikasi kepada pemiliknya sekiranya mengesan sesuatu yang luar biasa.
Jelas syarikat itu, Astro dianggap lebih daripada sekadar ‘Alexa dilengkapi roda’ kerana telah diprogramkan dengan pelbagai gerakan dan ekspresi untuk memberikannya personaliti menarik.
Selain itu, Amazon memaklumkan pihaknya turut memberi tumpuan isu privasi yang mana Astro boleh dipasang zon ‘luar batasan’ agar ia tidak memasuki kawasan tertentu atau mod ‘jangan ganggu’.
“Astro mempunyai butang untuk mematikan kamera dan mikrofon yang boleh menghentikan kemampuannya untuk bergerak.
“Robot kecil ini juga dilengkapi kamera ‘periskop’ boleh dipanjangkan dari bahagian kepalanya,” jelas syarikat itu.
Menurut Amazon, robot pintar itu yang berharga AS$999 (RM4,182) mampu membantu warga emas.