WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menawarkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Afghanistan.
Perkara itu diumumkan oleh pemerintah baharu Afghanistan.
Kenyataan itu dibuat selepas delegasi AS dan wakil kanan pemerintah Taliban buat pertama kali mengadakan rundingan secara bersemuka di Qatar sejak pengunduran tentera AS pada Ogos lalu.
“Wakil AS memaklumkan akan memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan.
“Mereka juga akan menyediakan kemudahan kepada organisasi kemanusiaan lain untuk menyalurkan bantuan,” jelas Taliban dalam satu kenyataan.
Jelas kenyataan itu, Taliban akan bekerjasama dengan badan amal untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang layak secara telus.
“Kami juga akan membantu memudahkan pergerakan warga asing,” jelas kenyataan itu.
Setakat ini, AS masih belum mengesahkan secara rasmi dakwaan Taliban mengenai bantuan kemanusiaan tersebut.
Selain bantuan, rundingan itu turut memberi tumpuan mengenai pengekangan kumpulan ekstremis dan pemindahan warga AS.
Pegawai AS menggambarkan rundingan tersebut sebagai profesional namun memaklumkan pemerintah Taliban akan dinilai berdasarkan tindakan mereka. – AGENSI