WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden akan meneruskan rancangan membuka semula pejabat konsulat di Baitulmuqaddis bagi berhubung dengan rakyat Palestin, walaupun ditentang oleh Israel.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken mengulangi janji awal yang dibuat beberapa bulan lalu untuk mendirikan semula pejabat itu yang menjadi pangkalan diplomatik dengan rakyat Palestin sebelum ditutup oleh Donald Trump, 2018.
Namun, Blinken belum menetapkan tarikh pembukaan semula konsulat yang dilihat bakal merenggangkan hubungan AS dengan Israel.
Israel mula bimbang pemerintahan Perdana Menteri, Naftali Bennett akan mula goyah dengan pengenalan semula langkah diplomatik tersebut.
“Kami akan meneruskan proses membuka konsulat bagi mengeratkan hubungan dengan Palestin,” katanya dalam sidang akhbar semasa menerima kunjungan Menteri Luar Israel, Yair Lapid dan Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahyan.
Pentadbiran Biden berusaha membaiki hubungan dengan rakyat Palestin selepas ‘dirosakkan’ oleh Trump.
Bagaimanapun, pembukaan semula konsulat itu akan menimbulkan ketegangan antara Washington dengan sekutu rapat di Asia Barat.
Blinken membuat kenyataan itu bagi menjawab soalan wartawan selepas mesyuarat tiga hala yang mengenai perkembangan terkini Perjanjian Abraham.
Pentadbiran Biden memaklumkan Perjanjian Abraham bukan menggantikan formula Penyelesaian Dua Negara antara Israel dan Palestin.
Blinken menyatakan harapan normalisasi hubungan Israel dengan negara-negara Arab akan menjadi ‘kekuatan kemajuan’ antara Israel dan Palestin.
Beliau menegaskan sokongan terhadap Penyelesaian Dua Negara kerana kedua-dua pihak ‘sama-sama layak untuk hidup dengan aman’.
UAE adalah negara arab pertama yang menormalisasikan hubungan dengan Israel selepas berdekad bermusuhan, manakala Bahrain, Sudan dan Maghribi dijangka mengikut jejak langkah sama. – REUTERS