NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) akan membuka semula pintu sempadan negara 8 November depan kepada semua pelancong luar yang sudah divaksin sepenuhnya.
Perkembangan terkini itu sekali gus menamatkan tempoh 18 bulan larangan mengunjungi negara itu yang menyaksikan ada keluarga terpisah, sektor pelancongan tergendala dan merenggangkan hubungan diplomatik.
Pembantu Setiausaha Akhbar White House, Kevin Munoz mengumumkan polisi baharu itu menerusi ciapan Twitter.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi melonggarkan sekatan berpandukan kesihatan awam, peraturan yang ketat dan konsisten.
Jelasnya, pengumuman dan tarikh itu adalah bagi kedua-dua penerbangan udara dan darat.
Pintu sempadan negara ditutup sejak Mac tahun lalu kepada semua pelancong di dunia termasuk Kesatuan Eropah, Britain, China, India, Brazil, Mexico dan Kanada.
Pihak berkuasa kesihatan AS memaklumkan semua vaksin yang diiktiraf oleh Badan Pengawal Ubatan dan Makanan serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia diterima memasuki negara itu.
Buat masa sekarang penerima vaksin yang diterima adalah daripada suntikan dos AstraZeneca, Johnson&Johnson, Moderna, Pfizer, Sinopharm dan Sinovac.-AFP