JAKARTA: Data dari Badan Pusat Statistik Indonesia menunjukkan seramai 64 juta penduduk tidak mempunyai alat pencuci tangan di rumah.
Jumlah itu bersamaan 25 peratus populasi penduduk Indonesia atau satu dari empat penduduk, lapor Tribunnews.
Sedangkan mencuci tangan dengan sabun adalah kaedah termurah dan paling efektif menghentikan penularan Covid-19.
Pengarah Kesihatan Persekitaran, Vensya Sitohang berkata, selain mencegah wabak, cuci tangan pakai sabun (CTPS) dapat menurunkan gangguan pencernaan (diare) dan jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) hingga 30 peratus.
Katanya, kedua-dua penyakit itu merupakan penyebab utama kematian kanak-kanak di Indonesia.
“CTPS yang sebetulnya adalah setiap orang perlu mencuci tangan dengan sabun secara teratur dan mengikuti teknik mencuci tangan yang benar,” katanya dalam seminar secara maya.
Menurut Vensya, selain kemudahan CTPS di rumah, beberapa tempat seperti sekolah, fasiliti kesihatan, pasar raya, pasar dan taman perlu juga perlu menyediakan peralatan itu.
Hari CTPS bertemakan ‘masa depan kita di tangan kita’ menjadi momentum dalam mencegah penularan pelbagai penyakit.