LONDON: Penduduk di sebuah perkampungan mengugut untuk meninggalkan kawasan penempatan mereka sekiranya majlis perbandaran masih mahu meneruskan rancangan memasang bonggol di laluan utama di Suffolk.
Lapor Metro, ‘ugutan’ tersebut dibuat selepas hampir 300 penduduk mendakwa mereka bakal berdepan dengan gangguan bunyi akibat kenderaan yang lalu lalang di situ.
Seorang penduduk, Simon Cook berkata, pemandu yang akan memperlahankan kenderaan semasa melalui bonggol akan mengganggu penduduk yang tinggal di kawasan ini.
“Pemasangan bonggol jalan hanya menyebabkan bunyi bising dari traktor, lori dan kereta yang akan memberhentikan dan menghidupkan enjin sepanjang waktu malam,” katanya.
Cook malah memberitahu, perancangan itu langsung tidak mendapatkan pandangan penduduk terlebih dahulu.
Majlis Perbandaran Suffolk dan Hepworth Parish merancang untuk memasang bonggol jalan kerana kenderaan yang dipandu laju sering menjadi masalah kepada penduduk tempatan sejak tiga dekad lalu.