LONDON: Kelahiran bayi kembar siam adalah perkara yang sangat jarang berlaku dan hanya melibatkan satu bagi setiap 200,000 kelahiran di dunia.
Lapor The Sun, hal ini bermaksud hanya 20 pembedahan pernah dilakukan di seluruh dunia dan yang terbaharu melibatkan kejayaan pembedahan pasangan kembar perempuan berusia setahun yang bercantum di bahagian belakang kepala.
BERCANTUM TULANG BELAKANG
Remaja perempuan Sanchia dan Eman Mowatt yang sudah mencecah usia 19 tahun hanya berumur tiga bulan semasa menjalani prosedur pembedahan 16 jam di Hospital Kanak-Kanak Birmingham bagi memisahkan kembar siam itu.
Kembar itu bercantum pada bahagian tulang belakang dengan peluang hidup hanya lima ke 25 peratus.
Malah, pembedahan itu juga sangat berisiko untuk membuktikan sama ada ia mampu menjadi perintis kepada pembedahan lain.
Namun, pembedahan memisahkan tulang belakang itu berjaya dilakukan dan mereka menjalani kehidupan normal seperti biasa.
KONGSI KAKI SAMA
Pada 1998, Bintang TikTok, Gabby Garcia, 22, berjaya dipisahkan daripada kembar siamnya, Michaela semasa mereka berusia lapan bulan.
Namun, Michaela meninggal dunia akibat mendapat jangkitan 13 tahun lalu.
Pasangan kembar siam itu berkongsi kaki, buah pinggang, ginjal, pundi kencing dan usus yang sama.
Garcia merakamkan kenangan mengenai adik tersayangnya kepada 223 pengikut akaun TikTok rasminya.
KEMBAR SIAM ABBY, BRITTANY
Namun, tidak semua pasangan kembar siam bebas menikmati kehidupan seperti pasangan kembar lain yang berjaya dipisahkan.
Difahamkan, sehingga kini terdapat 12 pasangan kembar siam yang masih bercantum di seluruh dunia.
Di sebalik personaliti berbeza, pasangan Abby dan Brittany Hensel, 31, berkongsi sepasang kaki dan tangan yang sama.
Pasangan itu bekerja bersama sejak lahir seperti memandu, berenang dan bekerja sebagai guru sambilan.
“Kami tidak pernah berharap akan terpisah kerana kita tidak akan dapat melakukan semua perkara seperti sekarang iaitu bermain bola , berlari dan bersukan,” jelasnya.
KEMBAR SIAM MEXICO
Dilahirkan di Mexico pada 2002, pasangan kembar siam yang bercantum di bahagian dada sehingga pinggul, Carmen dan Lupita Andrade meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-18.
Pasangan itu turut mempunyai dua tangan dan satu kaki dengan Carmen mengawal bahagian kanan dan Lupita di bahagian kiri.
Pasangan yang membintangi dokumentari ‘Two Sisters, One Body’ itu turut berkongsi jantung, paru-paru dan perut yang sama.
Disebabkan mereka juga berkongsi hati dan sistem pencernaan yang sama, maka, pembedahan untuk memisahkan mereka menjadi terlalu berisiko.