YOGYAKARTA: Sebuah kandang yang menempatkan tiga lembu dan dua kambing di Gunungkidul, di sini menjadi tempat berteduh untuk Ngadiono bersama isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.
Keluarga itu menggunakan kanvas untuk menjadikan ruang dalam kandang tersebut sebagai tempat tidur mereka dan sebahagian kecil dapur untuk memasak.
Menurut Ngadiono, 52, dia dan keluarganya sudah tinggal di dalam kandang tersebut selama empat bulan dan sebelum ini, mereka berteduh di pondok dalam hutan sejak 2018 hingga awal tahun ini.
Jelas lelaki itu, dia menggunakan wang hasil menanam jagung untuk mendirikan kandang tersebut.
“Saya dan keluarga terpaksa tinggal di dalam kandang lembu kerana kami tidak mampu untuk menyewa rumah, selain saya dibebani hutang yang banyak.
“Sebelum ini, saya mempunyai tanah serta rumah, namun terpaksa dijual bagi membayar hutang dengan bank,” katanya kepada Kompas.com.
Ngadiono turut memberitahu, dia mempunyai lima anak, namun hanya tiga orang yang tinggal dengannya, manakala dua lagi duduk dengan saudaranya.
Lelaki itu memaklumkan, dia kini melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan keluarganya, selain berusaha membayar sedikit demi sedikit hutang yang ada.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan sudah dimaklumkan mengenai keadaan Ngadiono dan keluarga tersebut bakal berpindah ke rumah sementara yang akan didirikan tidak lama lagi.