KABUL: Taliban dilaporkan bertindak keras terhadap sekumpulan kecil wanita yang melakukan demonstrasi dengan melepaskan tembakan ke udara dan menolak penunjuk perasaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh wartawan AFP yang menyaksikan insiden tersebut.
Sekumpulan enam wanita berkumpul di luar sekolah menengah di timur Kabul bagi menuntut hak gadis kembali ke sekolah selepas Taliban menyingkirkan mereka dari kelas awal bulan ini.
Dalam protes itu, penunjuk perasaan sedang memegang sepanduk tertera ‘jangan bakar buku kami’ dan ‘jangan tutup sekolah kami’ sebelum dirampas oleh anggota pasukan keselamatan Taliban.
Pasukan keselamatan juga bertindak menolak penunjuk perasaan ketika mereka cuba meneruskan protes berkenaan.
Dalam kejadian itu, seorang wartawan media luar negara dipukul dengan senapang dan disekat daripada merakam untuk liputan berita.
Menurut wartawan AFP, seorang anggota Taliban melepaskan tembakan ke udara dengan senjata automatik yang dibawanya.
Selepas kejadian tembakan itu, para penunjuk perasaan dari kumpulan Pergerakan Aktivis Wanita Afghanistan terpaksa berlindung di dalam sekolah.
Seorang anggota Taliban yang mengenal pasti dirinya sebagai ketua pasukan khas di Kabul, Mawlawi Nasratullah berkata, penunjuk perasaan tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan berhubung protes mereka.
“Wanita tersebut berhak melakukan tunjuk perasaan di Afghanistan seperti di negara lain namun mereka perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa keselamatan terlebih dahulu,” katanya. – AFP