JAKARTA: Seorang remaja berusia 15 tahun maut selepas disiram dengan asid oleh teman lelakinya dengan polis mendedahkan motif kejadian adalah disebabkan cemburu.
Suara.com melaporkan, mangsa, Syahbila, meninggal dunia kelmarin.
Ketua Unit Jenayah Polis Daerah Deli Tua, Iptu Martua Manik berkata, ketika ini suspek yang berusia 26 tahun masih menjalani proses siasatan di Ibu pejabat Polis Deli Tua.
Kejadian bermula ketika suspek datang ke rumah mangsa untuk makan bersama.
Suspek kemudian membawa mangsa bersiar-siar dengan menaiki motosikal sehingga akhirnya mereka tiba di Jalan Stasiun, Desa Suka Makmur, Deli Serdang.
Di lokasi itu, suspek berpura-pura tayar motosikalnya kurang angin dan meminta mangsa memeriksa tayar.
Ketika itu suspek menyimbah asid ke badan mangsa.
Suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah.
Ibu bapa mangsa yang melihatnya cedera, segera membawa ke hospital terdekat.
Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.
Ketika ditanya ibu bapa mangsa, suspek mengatakan mangsa disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Kes kemudiannya dilaporkan kepada polis.