ISTANBUL: Seorang remaja perempuan mati tersedak muntah sendiri ketika menaiki permainan ‘Kamikaze’ di taman tema Hayrola Luna Park di Avcillar, di sini.
Lapor Mirror, kejadian itu pada mulanya disedari keluarga mangsa yang ternampak Zeynep Gunay, 19, seperti tercekik dan mereka meminta supaya permainan berkenaan dihentikan.
Namun, pengendali permainan itu tidak mengendahkan gesaan tersebut.
Selepas permainan berhenti, Zeynap dibawa turun dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bapa saudaranya beberapa kali menepuk pipinya, namun tiada tindak balas.
Lebih menyedihkan, keluarga mangsa yang menghubungi ambulans kerana pihak pengurusan taman tema enggan mengambil serius kejadian tersebut.
Zeynep dikejarkan ke hospital namun dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Hasil laporan bedah siasat mendapati, remaja perempuan itu termuntah ketika menaiki permainan tersebut dan tersedak, menyebabkan saluran pernafasannya tertutup.
Sehubungan itu, keluarga Zeynep akan menuntut pembelaan terhadap kematiannya kerana mendakwa ia berpunca akibat kecuaian pengurusan taman tema.
“Jika pengendali menghentikan segera permainan itu, mungkin Zeynep dapat diselamatkan,” kata keluarganya.