SAO PAULO: Penyelidik Brazil mendapati molekul dalam racun sejenis ular boleh menghalang pembiakan koronavirus pada sel monyet.
Penemuan itu berkemungkinan menjadi langkah pertama yang dilakukan dalam menghasilkan ubat membendung penularan virus Covid-19.
Kajian yang disiarkan dalam jurnal saintifik, Molecules bulan ini mendapati molekul yang dihasilkan oleh ular jenis jararacussu menghalang keupayaan virus untuk membiak dalam sel monyet sebanyak 75 peratus.
Penulis kajian dari University of Sao Paulo, Prof. Rafael Guido berkata, pasukan penyelidik berjaya menemukan komponen yang terdapat pada ular itu bagi menghalang pembiakan protein paling penting dalam virus tersebut.
Molekul itu dikenali sebagai peptida atau rantaian asid amino yang boleh berhubung dengan enzim Covid-19, PLPro.
Enzim itu amat penting semasa proses pembiakan virus tanpa menyakiti sel lain.
“Kami risau sekiranya orang ramai akan memburu ular jararacussu di Brazil kerana memikirkan mereka akan menyelamatkan dunia.
“Sebenarnya, ia bukan disebabkan ular itu semata-mata yang mampu merawat Covid-19,” jelasnya.
Penyelidik kajian turut menilai keberkesanan dos molekul berbeza dan sama ada ia mampu menghalang virus daripada memasuki dinding sel.
Pakar itu berharap dapat menguji kandungan itu terhadap sel tubuh badan manusia satu hari nanti.
Jararacussu merupakan ular terbesar di Brazil yang mampu membesar sehingga dua meter.
Reptilia itu tinggal di pesisir Hutan Atlantik dan boleh ditemui di Bolivia, Paraguay dan Argentina.-REUTERS