KABUL: Pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) sepenuhnya 31 Ogos lalu, ibarat rahmat buat Taliban apabila puluhan ribu kenderaan Ford Rangers dan kenderaan utiliti sukan (SUV) lain ditinggalkan begitu sahaja.
Menerusi rakaman sebuah gambar dan video, kumpulan Taliban dilihat menguji sebuah unit Ford Ranger.
Kumpulan itu dikatakan meraih keuntungan bernilai AS$83 juta (RM340 juta) daripada persenjataan dan kenderaan yang ditinggalkan sehingga membuatkan bekas Presiden AS, Donald Trump menjadi berang.
“Semua peralatan harus segera dikembalikan ke AS termasuk setiap sen dari AS$85 juta (RM360 juta),” tulis Trump seperti dilaporkan Carscoops.
Berdasarkan laporan, sepanjang misi ketenteraan AS di Afghanistan selama 20 tahun, sebanyak 76,000 unit kenderaan digunakan di negara itu.
Selain itu, sebanyak 43,000 unit Ford Ranger, 22,000 kenderaan tentera dan 900 Mine-Resistant Ambush Protected (MRAP) iaitu kenderaan taktikal.
Sehingga kini, sekitar 70 peratus daripada keseluruhan peralatan milik tentera AS jatuh ke tangan Taliban.
Namun begitu, pasukan tentera AS tidak mungkin meninggalkan peralatan perang kepada pihak musuh begitu sahaja.
Ketua Komando Pusat AS, Jeneral Kenneth F.McKenzie Jr berkata, tentera negara itu sudah melumpuhkan 70 MRAP, 27 Humvee dan 73 pesawat sepenuhnya.
“Pesawat-pesawat itu tidak boleh diterbangkan lagi dan dioperasilan oleh sesiapa pun,” katanya seperti dipetik The Washington Post.-AGENSI