LONDON: Seorang wanita Britain yang terlepas hukuman mati mandatori di Malaysia atas tuduhan membunuh suaminya, dilaporkan sudah pulang ke United Kingdom (UK).
Lapor Daily Mail, Samantha Jones, 55, dipenjarakan di Malaysia selepas didapati menikam suaminya, John Jones, 63, sehingga mati dalam satu kejadian di rumah mereka di Pulau Langkawi pada 2018.
Samantha dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati selepas hakim memutuskan dia tidak bersalah atas pembunuhan John.
Wanita itu sebaliknya diperintah untuk menjalani hukuman penjara selama tiga tahun kerana menyebabkan kematian suaminya tanpa niat membunuh.
Samantha dibebaskan dari penjara di Pokok Sena baru-baru ini.
Daily Mail difahamkan, keluarga Samantha dengan bantuan dari pejabat Kementerian Luar telah membayar kos tiket penerbangan bagi membolehkan wanita itu pulang semula ke UK.
Beberapa gambar yang disiarkan di Mirror menunjukkan Samantha yang masih memakai cincin perkahwinannya, memandu kereta Range Rover di kawasan perumahannya berhampiran Yeovil.
Samantha dan John yang berasal dari Somerset dilaporkan berpindah ke Malaysia 17 tahun lalu setelah ‘jatuh cinta’ dengan Malaysia ketika bercuti pada 2002.
Namun, Samantha mendakwa ‘kehidupan baharu’ mereka berubah selepas John sering minum minuman keras sehingga mabuk dan menderanya secara fizikal.
Samantha menikam John pada Oktober 2018 selepas dia kembali dalam keadaan mabuk ke villa mereka di Langkawi.
John yang merupakan pesara anggota bomba, mengalami luka tikaman yang dalam di bahagian dada.
Samantha pada mulanya menghadapi hukuman mati dan kemudian didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh suaminya. – AGENSI