JAKARTA: Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, (BMKG), Dwikorita Karnawati memberi amaran kepada penduduk dan pemerintah Daerah Pacitan, Jawa Timur untuk bersiap sedia berdepan senario terburuk jika berlaku gempa bumi dan tsunami di daerah itu.
Kompas melaporkan, senario terburuk itu jelasnya perlu ditangani bersama bagi menghindari dan mengurangkan risiko bencana gempa bumi dan tsunami yang berpotensi berlaku di pesisir selatan Jawa akibat pergerakan lempeng tektonik Indo-Australia dan Eurasia.
“Berdasarkan penelitian, wilayah pantai Pacitan berpotensi berlakunya tsunami setinggi 28 meter dan mampu mencapai jarak sejauh empat ke enam kilometer dari tepi pantai,” katanya.
Dwikorita berkata, pihaknya telah mengenal pasti zon bahaya serta jalur keselamatan bencana yang dilakukan bersama Menteri Sosial, Tri Rismaharini dan Ketua Daerah Pacitan, Indrata Nur Bayuaji.
Menurutnya, dengan senario terburuk itu, penduduk yang berada di zon berbahaya perlu berlatih secara rutin untuk melakukan langkah-langkah menyelamatkan diri.
Katanya, penduduk, khususnya di wilayah pesisir pantai perlu segera beredar ke kawasan lebih tinggi jika berlaku gegaran kuat.
“Untuk masyarakat yang berada di pantai, tak perlu menunggu arahan atau siren, segera lari kerana waktu yang ada cuma sekitar 29 minit sebelum tsunami melanda,” katanya.
Beliau menambah, jika semua pihak sudah bersedia awal, jumlah korban dan kerugian dapat dikurangkan.
“Sekiranya masyarakat dilatih, maka tidak ada istilah gugup dan tidak tahu hendak buat apa ketika bencana berlaku,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini tiada teknologi di mana-mana negara yang dapat meramal waktu tepat berlakunya gempa bumi dan tsunami.
Dalam tempoh 20 tahun ini, Indonesia beberapa kali digemparkan dengan kejadian tsunami yang mengorbankan beribu-ribu nyawa.
Paling mengejutkan dunia adalah pada 2004 apabila gempa bumi sekuat 9.3 pada skala Richter mengakibatkan tsunami yang melanda wilayah Aceh.
Ini diikuti kejadian gempa bumi dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi Tengah pada 2018.