Perubahan iklim: Dunia kian tenat - Utusan Malaysia

Perubahan iklim: Dunia kian tenat

ORANG ramai berjalan di sepanjang dasar sungai yang kering akibat cuaca panas melampau di Lambare, Paraguay.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW: Di sebalik semua janji yang ditaburkan untuk mengambil langkah perubahan, dunia dilihat kian tenat dan masih menuju ke tahap berbahaya.

Berdasarkan penilaian terkini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pakar mengkaji mengenai perubahan iklim melibatkan lebih 100 negara dan merumuskan dunia menuju ke arah yang salah.

Saintis baru-baru ini mengesahkan untuk mengelakkan kesan buruk daripada cuaca lebih panas, pelepasan karbon di peringkat global perlu dikurangkan sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Namun, analisis terkini menunjukkan pelepasan karbon tersebut meningkat sebanyak 16 peratus dalam tempoh tersebut.

Keadaan itu menyebabkan kenaikan suhu 2.7 darjah celcius melebihi masa pra-industri yang jauh melebihi had ditetapkan oleh komuniti antarabangsa.

Ketua Perunding Perubahan Iklim PBB, Patricia Espinosa berkata, peningkatan sebanyak 16 peratus itu merupakan kebimbangan yang sangat besar.

“Ini sangat berbeza dengan tuntutan sains untuk pengurangan pelepasan berskala besar, cepat dan besar bagi mencegah penderitaan iklim yang semakin teruk, terutamanya negara yang paling terdedah di seluruh dunia,” katanya.

Itu adalah amaran keras yang diberikan sebelum persidangan iklim COP26 yang dijadualkan berlangsung di Glasgow, enam minggu dari sekarang.

Matlamat utama persidangan itu bagi menaruh harapan berterusan untuk mengehadkan kenaikan suhu global dengan menyakinkan negara-negara bersidang untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Berdasarkan peraturan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim, negara-negara terlibat perlu memperbaharui rancangan pengurangan karbon setiap lima tahun.

Namun, PBB memberitahu dari 191 negara yang mengambil bahagian dalam perjanjian itu, hanya 113 yang mengotakan janji tersebut.

Menteri Britain, Alok Sharma yang akan mempengerusikan persidangan COP26 berkata, negara-negara yang memiliki perancangan iklim yang jelas menyaksikan ‘tahap pelepasan karbon yang semakin menurun’.

“Tetapi tanpa tindakan dari semua negara, terutamanya negara ekonomi terbesar, usaha tersebut hanya sia-sia,” jelasnya.

NEGARA MISKIN JADI MANGSA

Kajian oleh Climate Action Tracker mendapati hanya negara kumpulan G20 yang merupakan negara perindustrian terkemuka, termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) memperkukuhkan usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Dalam analisis lain, Institut Sumber Dunia dan Analisis Iklim melaporkan bagaimana China, India, Arab Saudi dan Turki yang bersama-sama bertanggungjawab terhadap 33 peratus gas rumah hijau belum mengemukakan sebarang rancangan terkini.

Australia dan Indonesia masih mempunyai sasaran pengurangan karbon yang sama seperti dilakukan pada 2015.

Brazil, Mexico dan Rusia pula dilihat berlaku peningkatan pelepasan karbon ke atmosfera bumi.

Penurunan segera tahap pelepasan gas karbon adalah menjadi keutamaan bagi negara-negara miskin yang paling terdedah dengan kenaikan permukaan paras laut dengan cuaca panas serta kemarau melampau.-BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya