NEW DELHI: Seorang remaja berusia 15 tahun nekad menyuntik dirinya dengan raksa kerana mahu menjadi seperti watak adiwira X-Men.
Lapor Daily Star, percubaan itu berakhir dengan kekecewaan apabila dia menghidapi ulser yang sukar sembuh di bahagian kiri lengannya.
Kes itu berdasarkan laporan Pusat Maklumat Bioteknologi Kebangsaan yang mendedahkan kecederaan yang dialami oleh mangsa akibat terpengaruh dengan komik Marvel yang menceritakan logam tidak beracun menyerupai raksa dapat dibentuk atau dipadatkan mengikut keinginan.
Pakar perubatan mendapati berlaku penyalahgunaan kandungan berbahaya dan penilaian psikiatri perlu dijalankan terhadap mangsa.
Remaja itu memberitahu dia memang berniat menyuntik dirinya dengan raksa selepas mengeluarkan bahan berbahaya itu dari termometer sebanyak tiga kali.
Doktor terpaksa menjalankan pemeriksaan toksikologi bagi menilai tahap raksa dalam darah mangsa dan memutuskan ulser itu perlu dipotong serta dia perlu menjalani pembedahan mencantumkan bahagian kulit yang rosak.
Sebelum ini, remaja lelaki itu pernah membiarkan labah-labah menggigit dirinya kerana mahu menjadi seperti Spider-Man.