DHAKA: Seekor lembu dari Bangladesh menjadi popular selepas mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai binatang terpendek di dunia.
Namun, pengiktirafan tersebut hanya diberikan selepas kematiannya bulan lalu.
Lembu bernama Rani hanya mempunyai ketinggian 50.8 sentimeter (cm) menjadi selebriti segera di internet selepas ribuan orang berpusu-pusu ke ladang itu bagi melihat haiwan tersebut.
Namun, selepas pemiliknya membuat permohonan kepada Guinness World Records, kejadian menyayat hati berlaku 19 Ogos lalu, apabila lembu itu mati akibat masalah dalaman.
Pemilik lembu kerdil, Kazi Mohammad Abu Sufian berkata, dia menerima e-mel daripada badan pengiktirafan dunia itu yang memaklumkan permohonannya sudah diterima.
“Kami sudah menghantar video Rani kepada pihak tersebut. Kami juga menghantar laporan bedah siasat kepada pihak berkuasa Guinness bagi melihat sama ada berlaku perkara luar biasa berhubung kematiannya.
“Perasaan kami bercampur-baur apabila Rani mendapat pengiktirafan itu. Kami berbangga akhirnya ia mendapat penghormatan itu,” katanya.
Kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Guinness mengesahkan status pengiktirafan rekod dunia itu sekali gus membenam rekod terdahulu, lembu dari India, Manikyam dengan ketinggian 61 cm. – AFP