PURBALINGGA: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya manusia kanibal dilaporkan menerima suntikan vaksin Covid-19 di keluaran Sinopharm di Purbalingga, Jawa Tengah, baru-baru ini.
Menerusi video yang tular, lelaki tersebut dikenali sebagai Sumanto kelihatan tersenyum ketika menerima suntikan vaksin.
Petugas perubatan juga dilihat sempat meminta Sumanto mengucapkan ‘Saya Sumanto sudah divaksin’.
Sumanto sebenarnya merupakan seorang daripada penghuni Pusat Kesihatan Mental Supono Mustajab di sini.
Pada 2003, Sumanto didakwa mencuri mayat seorang nenek bernama Rinah sebelum dia memakan daging wanita warga emas itu.
Menurut petugas perubatan, Sumanto dan sejumlah lagi penghuni pusat kesihatan tersebut baru menerima suntikan dos pertama.
“Terdapat 36 penghuni di pusat kesihatan mental itu sudah menerima suntikan dos pertama dan mereka kelihatan baik sahaja.
“Sumanto yang kelihatan paling gembira selepas menerima suntikan tersebut,” ujar petugas perubatan berkenaan.