SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun dihukum penjara 12 bulan kerana mengadakan hubungan seks songsang dengan remaja lelaki pada 2019.
Berita Mediacorp melaporkan, Htut Phyo Wai melakukan perbuatan terkutuk itu sebagai ganjaran kerana membelikan kad telefon prabayar untuk seorang remaja bawah umur, berusia 15 tahun, yang dikenalinya menerusi aplikasi mencari pasangan.
Tertuduh mengaku bersalah atas satu tuduhan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur. Tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mangsanya, remaja warga Singapura yang kini berusia 17 tahun, tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Emily Koh memberitahu mahkamah, mangsa memuat turun applikasi yang popular dalam kalangan lelaki homoseksual, pada 2018 dan mula berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali.
Mangsa mengetahui daripada perbualan di aplikasi itu bahawa dia boleh memperoleh wang dengan menawarkan layanan seks.
Tertuduh juga mula menggunakan aplikasi itu pada 2018.
Pada April 2019, mangsa memuat naik catatan di aplikasi yang mengatakan dia memerlukan kad prabayar SIM bagi telefon bimbitnya.
Tertuduh kemudian bertanya kepada remaja lelaki itu apa yang dia boleh dapat sebagai ganjaran kerana memberikan kad prabayar itu.
Mahkamah diberitahu, remaja itu menjawab dengan mengatakan tertuduh boleh melakukan ‘apa saja yang dia mahu’.
Mereka bertemu pada 12 April 2019 dan tertuduh membelikan kad SIM daripada sebuah kedai runcit di Lapangan Terbang Changi sebelum menuju ke rumah remaja tersebut.
Apabila bertemu dengannya, dia menanyakan usia remaja tersebut. Mangsa mendedahkan dia berusia 15 tahun, sebelum mereka kemudian mengadakan hubungan seks dalam bilik tidur remaja itu.
Tertuduh kemudian memberikan kad SIM kepada remaja berkenaan lalu beredar dari rumah remaja tersebut.
Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak pula mendedahkan bagaimana jenayah tersebut terbongkar.
Koh mengusulkan hukuman penjara selama 12 bulan, sambil menegaskan perbuatan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur adalah satu jenayah di sisi undang-undang, tanpa mengira sama ada mangsa bersetuju ataupun tidak.
Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.