MEDAN: Sebuah gua yang dikenali dengan nama Goa Tao 8 Putri di Deli Serdang, Sumatera Utara menjadi tular dalam media sosial kerana didakwa mengandungi emas.
Berdasarkan satu rakaman video, dinding gua tersebut didakwa mengandungi serpihan emas.
Namun, dakwaan itu disangkal oleh Ketua Daerah Sinembah Tanjung Muda (STM) Hulu, Budiman ketika dihubungi Kompas.com.
“Tiada emas di dalam gua tersebut dan gua itu memang sering dikunjungi oleh penduduk tempatan. Jika ada emas, sudah pasti tempat itu sesak dengan orang ramai,” katanya.
Jelas Budiman, pihak berkuasa tempatan akan mengetahui terlebih dahulu sekiranya terdapat emas dalam gua tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Pengurus Daerah Ikatan Ahli Geologi Indonesia (IAGI), Sumut Gustam Lubis mengesahkan tiada emas dalam gua berkenaan.
“Bahan berkilat yang didakwa emas itu hanyalah besi pirit, iaitu logam biasa. Disebabkan besi pirit berwarna keemasan, bahan mineral itu sering dianggap sebagai emas palsu,” ujarnya.
Sumut memberitahu, mineral itu terbentuk hasil reaksi antara unsur besi dengan sulfur atau belerang sehingga menghasilkan warna kekuningan seperti emas.
Katanya, cara untuk membezakan sama ada mineral yang ditemukan adalah emas atau pirit dengan cara menggosoknya.
“Emas tidak akan luntur warnanya jika digosok, namun pirit akan bertukar warna,” jelasnya.