NEW YORK: Syarikat gergasi teknologi, Apple Inc bakal mendedahkan telefon pintar iPhone yang paling mahal pada tahun ini.
Lapor The Sun, menurut sumber dalaman syarikat itu, harga model iPhone 13 kemungkinan besar lebih mahal berbanding telefon pintar lain.
Isu itu berkaitan dengan kekurangan bekalan cip sehingga menyebabkan masalah kelewatan dan penetapan harga bagi syarikat teknologi di seluruh dunia.
Satu laporan baharu yang dikeluarkan oleh Digitimes menyatakan pengeluar cip Apple, TSMC terpaksa menaikkan harga sebanyak 20 peratus terhadap proses teknologinya.
Kos itu berpotensi dipindahkan kepada pengguna yang membeli telefon pintar berkenaan.
Sementara itu, seorang penganalisis CCS Insight, Ben Wood berkata, syarikat itu mungkin tidak akan menjual jenama iPhone pada harga yang tinggi.
“Syarikat Apple menetapkan formula harga yang baik untuk produknya. Jadi, saya tak nampak sebabnya mereka menyimpang daripadanya.
“Apple mungkin akan menetapkan harga rendah bagi model baharu iPhone dalam pengiklanan dengan menawarkan pelan pertukaran menarik kepada pelanggannya.
“Tawaran menarik kepada pelanggan untuk menukar iPhone sedia ada dengan membeli model baharu,” katanya.
Seorang lagi penganalisis dari Wedbush Securities, Dan Ives berpandangan, model iPhone yang standard tidak mungkin mencecah harga yang mahal. –AGENSI