SINGAPURA: Sebuah firma keselamatan mengaku di mahkamah bahawa ia melanggar undang-undang pekerjaan dengan menyuruh empat pekerjanya bekerja lebih 12 jam sehari, beberapa kali pada tahun lalu.
Berita Mediacorp melaporkan, seorang wakil Peregrine Security mengaku bersalah bagi pihak syarikat itu atas empat tuduhan di bawah Akta Pekerjaan, yang tidak membenarkan pekerja syif bekerja lebih 12 jam, dengan beberapa pengecualian.
Lagi tiga tuduhan serupa akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman pada 19 Oktober.
Bulan lalu, Mediacorp pertama kali melaporkan Peregrine Security dan sebuah lagi syarikat iaitu Sovereign Security Services, didakwa di mahkamah. Kes Sovereign Security Services bagaimanapun masih belum selesai.
Ramai pengawal keselamatan perlu bekerja hingga 12 jam sehari selama enam hari seminggu untuk memenuhi permintaan pasaran.
Justine Loh, pegawai kanan pendakwa daripada Kementerian Tenaga Manusia memberitahu mahkamah waktu kerja yang berpanjangan dalam kes Peregrine Security ‘berlaku hampir setiap hari’.
Kadang-kadang pengawal keselamatan terpaksa ‘bekerja 20 jam sehari selama beberapa hari berturut-turut’, tambah Loh.
Majikan mereka meminta mereka bekerja syif berturut-turut selama 13 hingga 20 jam sehari kerana kekurangan pekerja. Ini bererti mereka kadang-kala diberi waktu rehat hanya empat jam antara syif.
Menurut dokumen mahkamah, seorang pengawal keselamatan bekerja selama lebih 12 jam sehari selama 33 hari antara 2 September dengan 25 Oktober tahun lalu. Seorang lagi pengawal keselamatan melakukan sedemikian selama 44 hari sekitar tempoh yang sama.
Pengawal ketiga bekerja seperti itu selama 27 hari dan yang keempat bekerja selama dua hari.
Di bawah Akta Pekerjaan, pekerja syif tidak boleh bekerja lebih 12 jam sehari, kecuali:
– Apabila kerja itu penting kepada kehidupan masyarakat atau penting untuk pertahanan atau keselamatan;
– Apabila ia kerja-kerja mendesak yang perlu dijalankan ke atas mesin atau loji, atau gangguan kerja yang tidak mungkin dapat dijangkakan.
Namun, mahkamah diberitahu Peregrine Security tidak termasuk dalam pengecualian-pengecualian tersebut.
Seorang pegawai pemeriksa MOM mula menyiasat syarikat itu pada 23 September tahun lalu setelah menerima aduan. Tiada perincian didedahkan mengenai siapa yang membuat aduan tersebut.
Hari ini, Loh berhujah bahawa undang-undang wujud untuk melindungi kesejahteraan pekerja yang rentan ‘yang mungkin menerima pendapatan tidak seberapa setiap bulan’.
Firma yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga S$5,000 bagi setiap dakwaan.