WASHINGTON: Seorang pegawai tertinggi di Amerika Syarikat (AS) memberi amaran dunia akan musnah sekiranya negara itu terlibat dalam peperangan dengan Rusia atau China.
Naib Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Jeneral John E. Hyten menegaskan perkara itu dalam satu mesyuarat yang dianjurkan badan pemikir Washington, The Brookings Institution pada Isnin lalu.
Justeru, tegasnya, terdapat keperluan mendesak untuk mengurangkan ketegangan konflik antara negara dan mengelakkan perang nuklear yang boleh berlaku.
“Kami tidak pernah melawan Kesatuan Soviet. Sebagai sebuah negara kuasa besar dunia, kami tidak mempunyai niat untuk berperang dengan China mahupun Rusia,” katanya.
Menurut Hyten, sekiranya perang meletus antara tiga negara pemilik nuklear berkenaan, maka dunia dan ekonomi akan musnah.
“Sudah tentunya, ini akan memberi kesan buruk kepada semua orang. Justeru, kita perlu memastikan agar tidak melangkah ke arah jalan tersebut,” kata Hyten sepertimana dilaporkan oleh RT News.
RUSIA BUKAN ANCAMAN
Sementara itu, Hyten memutuskan Rusia bukan lagi menjadi ancaman.
Kenyataan beliau itu merujuk kepada beberapa perjanjian dibuat sebelum ini antara Moscow dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.
Bagaimanapun, pada masa sama Hyten mendakwa Rusia sedang memodenkan senjata nuklear yang dimiliki negara itu.
“Saya rasa mereka berbuat demikian kerana bimbang dengan AS,” katanya.
Jelas beliau, meskipun AS dan Rusia mencapai kemajuan baik dalam meningkatkan hubungan bilateral, namun ia masih jauh untuk mencapai kestabilan secara keseluruhan.
AS BIMBANG DENGAN CHINA
Hyten memaklumkan Washington menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan China yang didakwa secara berterusan membina ratusan silo untuk menempatkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).
Pembinaan silo itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen China meningkatkan penghasilan senjata nuklearnya.
Menurut Hyten, AS semakin bimbang kerana negara republik itu tidak terikat dibawah perjanjian kawalan senjata nuklear.
“Misalnya, perjanjian kawalan senjata nuklear mengehadkan AS dan Rusia menghasilkan 1,550 peledak nuklear dan 700 peluru berpandu.
“China pula tiada had dikenakan, anda perlu tanya diri sendiri mengapa negara itu sedang giat mengembangkan kekuatan senjata nuklearnya,” katanya. – AGENSI