BEIJING: China mencetuskan kontroversi apabila memperkenalkan peraturan maritim baharu berkuatkuasa 1 September lalu, yang bertujuan mengawal kemasukan kapal asing ke ‘wilayah perairan China’.
Pengenalan peraturan itu akan memberikan kesan sangat besar terhadap pelayaran kapal komersial dan ketenteraan di Laut China Selatan, Laut China Timur dan wilayah Taiwan yang menjadi pertikaian.
Tindakan itu juga akan menimbulkan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan negara jiran lain di wilayah itu.
MEKANISME UNDANG-UNDANG
Kapal asing sama ada kapal tentera dan komersial perlu memohon kebenaran merentasi ‘wilayah perairan China’ kepada kerajaan negara itu mengikut peruntukan peraturan yang ditetapkan.
Global Times yang memetik sumber Pentadbiran Keselamatan Maritim China berkata, semua jenis kapal yang akan melalui perairan negara ini perlu menghantar laporan terperinci.
Ini termasuk pengendali kapal selam, kapal nuklear, kapal yang membawa bahan radioaktif dan minyak pukal, bahan kimia, gas cecair serta bahan toksik berbahaya.
Laporan itu juga menetapkan ‘kapal yang memberi ancaman kepada keselamatan trafik maritim China’ perlu menghantar laporan mengenai nama, jawatan, kedudukan, nama barang berbahaya yang dibawa melalui kapal dan muatan kargo, destinasi pelabuhan seterusnya serta jangkaan masa ketibaan.
ANCAM KESTABILAN WILAYAH SERANTAU
Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Jepun (JIIA), Dr. Monika Chansoria yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan kontemporari Asia dan strategi Indo-Pasifik menjelaskan langkah terkini itu susulan beberapa siri keputusan mengenai Laut China Selatan dan Laut China Timur sejak 2020.
“Semua pengumuman ini sangat membimbangkan kerana meningkatkan risiko kemungkinan salah perhitungan yang mengancam kestabilan serta keselamatan di ketiga-tiga perairan itu,” jelasnya.
Laut China Selatan yang merangkumi China, Taiwan, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Vietnam adalah kepentingan ekonomi yang besar di peringkat global.
Hampir satu pertiga perkapalan dunia melintasi perairan yang turut menempatkan banyak perikanan penting di laut dalam.
Lima tahun lalu, mahkamah antarabangsa memutuskan tuntutan Beijing meliputi keseluruhan Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.
AS BANTAH
Pentagon membantah tuntutan baharu Beijing yang menghendaki semua kapal asing memasuki perairan Laut China Selatan berdaftar dengan pihak berkuasa China.
Tindakan itu dianggap sebagai ‘ancaman serius’ bagi kebebasan perdagangan dan laluan.
Jurucakap Pentagon, Jon Supple berkata, AS tetap bertegas undang-undang atau peraturan negara pesisir tidak boleh melanggar hak laluan dan penerbangan yang dinikmati oleh semua negara di bawah undang-undang antarabangsa.
Tuntutan maritim yang menyalahi undang-undang di Laut China Selatan menimbulkan ancaman serius terhadap kebebasan di lautan sama ada pelayaran, penerbangan, perdagangan serta hak kepentingan Laut China Selatan dan negara-negara kecil lain.
AS mengeluarkan kenyataan balas dua hari selepas China mengumumkan kapal asing yang memasuki ‘wilayah perairan’ negara itu perlu melaporkan maklumat pergerakan kapal dan kargo kepada pihak berkuasa maritim.
AS secara berkala melakukan latihan ‘kebebasan navigasi’ di rantau itu, bertujuan memberi isyarat status kawasan tersebut sebagai laluan laut antarabangsa.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Naval War College AS, Raul Pedrozo pula memberi amaran bahawa tindakan China hanya mengganggu-gugat kestabilan wilayah tersebut.
Jelasnya, tuntutan terkini itu adalah ‘serangan’ terhadap undang-undang antarabangsa yang mengawal lautan dunia sejak Perang Dunia Kedua berakhir.
“China sedang menguji masyarakat antarabangsa untuk mengukur bagaimana mereka akan berdepan dengan undang-undang baharu itu,” katanya. – AGENSI