LONDON: Hampir separuh penduduk Britain percaya Perdana Menteri, Boris Johnson mungkin akan melaksanakan semula perintah berkurung Covid-19 sebelum akhir tahun ini.
Lapor Daily Mail, satu tinjauan eksklusif MailOnline yang dijalankan oleh Redfield & Wilton Strategies mendapati sebanyak 50 peratus orang percaya perintah berkurung Covid-19 menyeluruh mungkin berlaku pada tahun ini.
Berdasarkan tinjauan itu, hanya satu perempat atau 25 peratus orang percaya kerajaan tidak mungkin mengenakan perintah berkurung lagi.
Sementara itu, majoriti penduduk Britain iaitu kira-kira 60 peratus mendedahkan akan menyokong Johnson melakukan tindakan demikian sekiranya negara itu berdepan kes Covid-19 yang melambung tinggi.
Sebelum ini, Johnson berkata, beliau tidak mahu mengisytiharkan perintah berkurung Covid-19 sekali lagi di seluruh negara.
Justeru, sebarang usaha untuk mengenakan semula perintah berkurung mungkin akan mencetuskan kecaman daripada ahli Parlimen pembangkang.
Tinjauan yang membabitkan seramai 1,500 penduduk dijalankan dari 1 hingga 2 September lalu.
Berdasarkan tinjauan itu, sebanyak 16 peratus orang percaya perintah berkurung Covid-19 mungkin akan dilaksanakan pada tahun ini.
Sebanyak 34 peratus berpandangan kemungkinan terdapat perintah berkurung manakala 18 peratus percaya tidak mungkin.
Sebanyak tujuh peratus lagi percaya perkara itu sangat tidak mungkin berlaku. – AGENSI