FRANKFURT: Pengeluar kereta Jerman, BMW mendedahkan sebuah prototaip kereta elektrik baharu yang lebih mesra alam yang boleh dikitar semula untuk menyelamatkan planet.
Lapor Daily Mail, model kereta yang dikenali sebagai iVision Circular diperbuat sepenuhnya daripada bahan kitar semula.
“Apabila kereta itu mencapai akhir jangka hayatnya, ia boleh dikitar semula sepenuhnya untuk memulakan proses pembuatannya sekali lagi,” jelas laporan itu.
Model iVision Circular yang berkonsepkan elektrik dan pelepasan karbon sifar itu merupakan prototaip yang direka untuk mempamerkan pelan syarikat kumpulan BMW.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/08092021-40-BMW-Kereta-kitar-semula-pixs-600x450.jpg)
Syarikat itu memaklumkan, pihaknya berhasrat menjadikan semua kenderaan keluarannya 100 peratus boleh dikitar semula sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun.
“Syarikat pengeluar kereta itu mahu menunjukkan tahap kemampanan yang tinggi dapat dilaksanakan seiring dengan penampilan mewah,” jelas laporan itu.
Pada masa ini, kereta BMW dihasilkan dengan menggunakan kira-kira 30 peratus bahan kitar semula dan bahan digunakan semula secara purata.
“Syarikat itu sedang berusaha meningkatkan kereta generasi akan datang hingga 50 peratus dan seterusnya 100 peratus boleh dikitar semula menjelang 2040,” jelas laporan itu.
Prototaip model iVision Circular dilancarkan di Pameran Motor Antarabangsa (IAA) 2021 di Munich. – AGENSI