ALGERIA: Bekas Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika meninggal dunia ketika berusia 84 tahun selepas dua tahun beliau meletakkan jawatan ekoran protes besar-besaran di negara itu.
Abdelaziz memerintah negara yang terletak di Afrika Utara itu selama dua dekad sebelum meletakkan jawatan April 2019, selepas demonstrasi jalanan yang menolak hasratnya menyambung kepemimpinan buat penggal kelima.
Pemimpin Algeria yang paling lama memimpin negara itu dilihat jarang membuat kemunculan dalam khalayak ramai sejak menghidap strok pada 2013.
Selepas peletakan jawatan beliau, pihak berkuasa melancarkan penyiasatan terhadap rasuah dan penyelewengan sehingga menyebabkan beberapa pegawai kanan dipenjarakan termasuk adik lelaki Abdelaziz merangkap penasihat dirinya.
Abdelaziz dianggap sebagai hero negara oleh penyokongnya yang berjuang di medan perang semasa perang Algeria bagi menuntut kemerdekaan dari Perancis.
Selepas Algeria merdeka dan bebas dari cengkaman penjajahan Perancis pada 1962, bekas Presiden itu pernah menjadi Menteri Luar pertama Algeria dan tokoh berpengaruh bagi Pergerakan Tidak Berikat.-AGENSI