KAMPALA: Tiga orang maut apabila sebuah bangunan dalam pembinaan, runtuh akibat hujan lebat di Kampala, Uganda.
Menurut Palang Merah, dua kanak-kanak berjaya diselamatkan daripada kejadian runtuhan itu.
Beberapa gambar di media sosial menunjukkan pekerja pembinaan dan pejalan kaki mengeluarkan serpihan runtuhan dengan tangan untuk mencari mangsa yang terperangkap.
Pasukan bomba menggunakan alat pemotong logam untuk mengesan orang tertimbus dalam runtuhan bangunan.
Jurucakap Palang Merah, Irene Nakasiita berkata, tiga mayat ditemukan dalam runtuhan bangunan empat tingkat itu.
Jelasnya, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital di Kampala.
Bangunan itu terletak bersebelahan Terminal Bas Kisenyi yang merupakan hab transit utama di ibu negara Uganda.
Katanya, beliau bimbang penunggang teksi motosikal dan orang lain yang menunggu di bangunan tersebut disebabkan hujan, mungkin terperangkap di bawah runtuhan itu.
“Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa di lokasi kejadian. Mereka menggunakan dua jentera pengorek.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan,” katanya. – AFP