WASHINGTON: Ketika negara-negara miskin sedang bergelut dengan kekurangan bekalan vaksin, Amerika Syarikat (AS) didakwa membuang sebanyak 15.1 juta dos vaksin Covid-19, sejak 1 Mac lalu.
Lapor NBC News, data yang dilaporkan oleh pihak farmasi, negeri serta pihak penyedia lain dijangka jauh lebih tinggi daripada jangkaan sebelum ini.
Pelbagai alasan diberikan berhubung pembaziran tersebut seperti kesilapan dalam mencairkan vaksin, kerosakan fungsi penyejuk beku dan jumlah dos dalam bebuli melebihi bilangan penerima suntikan pada satu-satu masa selepas dibuka.
Laporan itu timbul ketika sebilangan negara miskin terus bergelut dalam program vaksinasi kepada penduduk mereka disebabkan kekurangan bekalan dos vaksin.
Di Afrika Selatan, hanya 2.8 juta penduduk sudah menerima sunitkan lengkap vaksin berdasarkan data awam yang dikumpulkan Our World in Data.
AS sebaliknya, dilaporkan sudah memberikan kira-kira 440 juta dos vaksin kepada 52 peratus penduduknya setakat ini.
Lebih sejuta penduduk AS juga sudah menerima suntikan dos ketiga berikutan imuniti yang lemah.
Bahkan, negara itu dilaporkan merancang untuk menyediakan dos ketiga kepada semua penduduk selepas tempoh lapan bulan menerima suntikan kedua, bermula akhir bulan ini.