LONDON: Terapi merawat Covid-19 yang menggunakan antibodi daripada seekor llama dinamakan Fifi, menunjukkan ‘potensi besar’ dalam peringkat awal ujian klinikal yang dijalankan.
Ia merupakan rawatan diperbuat daripada ‘nanobodi’ iaitu versi antibodi kecil dan sederhana yang dihasilkan oleh llama dan unta secara semula jadi sebagai tindak balas terhadap jangkitan.
Lapor BBC, sebaik sahaja terapi itu diuji pada manusia, pasukan saintis menyatakan ia boleh digunakan dalam bentuk semburan hidung untuk merawat dan mencegah jangkitan awal Covid-19.
Profesor James Naismith menyifatkan penggunaan nanobodi itu sebagai kaedah yang mengujakan.
Naismith yang merupakan salah seorang penyelidik utama dan Pengarah Institut Rosalind Franklin di Oxfordshire menjelaskan, tikus dijangkiti koronavirus yang dirawat dengan semburan hidung nanobodi dilaporkan pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hari.
Setakat ini, rawatan tersebut hanya diuji pada haiwan makmal tersebut.
Namun, Agensi Kesihatan Awam England (PHE) memaklumkan ia merupakan antara agen peneutralan SARS-CoV-2 paling berkesan yang pernah diuji.
Sama seperti antibodi manusia, nanobodi menyekat dan mengikat virus serta bakteria yang menyerang badan.
Nanobodi yang dihasilkan oleh pasukan penyelidik itu dengan menggunakan antibodi llama, ‘mengikat ketat’ virus tersebut.
“Di situ kami mendapatkan bantuan Fifi, llama dari Institut Franklin,” kata Naismith.
Sementara itu, pakar imunologi dari Universiti Manchester, Profesor Sheena Cruickshank menyifatkan perkembangan baharu itu amat menarik namun masih terlalu awal.
“Kita memerlukan lebih banyak data mengenai keberkesanan dan keselamatan sebelum menjalankan ujian pada manusia,” katanya. – AGENSI