WASHINGTON: Jutaan penganggur di Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan krisis apabila program bantuan kerajaan bakal dihentikan.
CNA yang memetik laporan AFP melaporkan, program yang memberi bantuan jangka masa panjang kepada penganggur itu pada awalnya dilihat mampu mengelakkan negara itu daripada kejatuhan ekonomi yang lebih buruk tahun lalu.
Bagaimanapun, bantuan itu dilihat mendorong orang ramai untuk tidak kembali bekerja sehinggakan menyebabkan beberapa negeri terpaksa menamatkannya lebih awal.
Anggota kumpulan pemikir progresif The Century Foundation, Andrew Stettner meramalkan kira-kira 7.5 juta orang yang bergantung terhadap program itu bakal berhadapan dengan krisis.
“Saya fikir ia akan menjadi satu peristiwa yang tidak dihargai dalam ekonomi. Ia akan menjadi silent crisis,” katanya.
Seorang penganggur dari Arizona, Deborah Lee berkata, dia masih tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjalani kehidupannya sekiranya bantuan program itu dihentikan.
“Saya tidak tahu bagaimana kami akan bertahan, hanya berdasarkan pendapatan anak perempuan saya,” katanya yang sedang pulih dari wabak itu.
EKONOMI NEGARA BELUM PULIH
Program bantuan itu diwujudkan sejak Mac tahun lalu yang menelan perbelanjaan sebanyak AS$2.2 trilion (RM8.8 trilion) melalui pakej penyelamatan CARES Act.
Walaupun awalnya mendapat sokongan daripada Parti Republik, namun kebanyakan gabenor Republik mengambil langkah untuk menamatkannya lebih awal sama ada secara sebahagian atau keseluruhan.
Dalam pada itu, berdasarkan data pihak kerajaan, ekonomi negara belum pulih apabila sebanyak 5.3 juta pekerjaan yang hilang akibat wabak tidak dapat dipulihkan, malah majikan hanya menambah sekitar 235,000 jawatan, Ogos lalu.
RAKYAT BIMBANG
Karen Coldwell dari Ohio berkata, dia menghantar kira-kira 10 permohonan pekerjaan pada setiap minggu, tetapi belum beroleh pekerjaan.
Katanya, dia belum bersedia untuk bersara pada usia 64 tahun, namun, tetap bimbang sekiranya perlu mengambil dari dana persarannya sekiranya program itu berakhir.
Karen Williams, 58, dari Pennsylvania berkata, penamatan program itu bakal mempengaruhi banyak perkara.
“Saya harus mengurangkan makanan,” katanya yang merupakan seorang pereka grafik yang tidak bekerja.
Brooke Ganieany,21, dari Oregon pula meluahkan dia tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga anaknya yang masih kecil sekiranya dia keluar mencari pekerjaan.
“Saya rasa mereka melakukan ini untuk membuat kita memiliki pelan dan kembali pada kenyataan, yang bukan merupakan slogan yang seharusnya mereka gunakan,” katanya.