KANO: Sekurang-kurangnya 17 orang termasuk seorang anggota tentera terbunuh dalam serangan terbaharu oleh kumpulan pemberontak di wilayah Borno, timur laut Nigeria.
Menurut sumber keselamatan dan militia, ratusan pemberontak dari Wilayah Islam Afrika Barat (ISWAP) menyerbu pekan Rann di sempadan dengan Cameroon pada Isnin lalu sekali gus menawan kawasan itu selama beberapa jam.
Serangan itu juga menyebabkan sebahagian besar penduduk melarikan diri ke Cameroon sebelum pasukan tentera merampas kembali pekan tersebut.
ISWAP yang merupakan puak serpihan dari Boko Haram pada tahun 2016, telah mengukuhkan kawalannya sejak kematian pemimpin Abubakar Shekau dalam pertempuran antara dua puak lawan.
Menurut seorang pemimpin militia di pekan itu, kumpulan bersenjata itu tiba kira-kira 1.30 pagi (waktu tempatan) dan melakukan serangan sehingga anggota tentera terpaksa meninggalkan pangkalan mereka.
“Kumpulan pemberontak membunuh 11 orang dalam serangan tersebut,” kata seorang sumber yang tidak mahu mendedahkan identitinya.
Jelas pemimpin militia, kumpulan pemberontak juga mencuri senjata sebelum membakar beberapa bangunan dan kenderaan.
Sumber keselamatan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan seorang anggota tentera dan sukarelawan tempatan bekerja di agensi bantuan luar negara merupakan antara mangsa terkorban.
Tentera Nigeria mengesahkan serangan di pangkalan itu.
Menurut sumber militia, pada Isnin lalu, kumpulan pemberontak menyerang pekan Ajiri dengan membunuh enam penduduk. – AFP