SAINT PAUL: Seorang wanita dari Minnesota didakwa menembak mati bekas suaminya sebelum menanam mayat mangsa di bangsal berhampiran rumah mereka.
Lapor New York Post, Karina See Her, 40, yang tinggal bersama bekas suaminya, ditahan oleh polis di St Paul pada Sabtu lalu.
Menurut pihak berkuasa, mayat Kou Yang, 50, ditemukan dalam keadaan dibalut dengan beberapa helai kain di bangsal yang baharu dibina.
Mayat lelaki itu ditemukan beberapa minggu selepas seorang jiran menghubungi polis untuk melaporkan mengenai bau busuk dari taman di belakang rumahnya.
Penduduk yang menghubungi talian kecemasan 911 itu kemudian meminta polis mencari Kou Yang kerana didapati hilang selama beberapa minggu lalu.
Anak tiri Kou Yang yang berusia 17 tahun membuat laporan polis terhadap See Her selepas mengesyakinya melakukan pembunuhan itu.
Dia juga berkongsi sebuah mesej yang diterima daripada adik bongsunya berusia 12 tahun mengenai kejadian itu.
Adik bongsunya mendakwa dia menaiki kereta bersama See Her yang memandu ke sebuah kawasan kira-kira 72 kilometer (km) ke arah utara.
“Setelah tiba di sana, saya melihat See Her mengeluarkan sesuatu kelihatan seperti beg mayat, masuk ke kawasan hutan berdekatan Taylor Falls dan kembali semula ke kereta tanpanya,” jelas mesej itu.
Anak tiri Kou Yang juga memaklumkan kepada polis bahawa dia menemui sebuah lubang besar di taman belakang rumahnya pada 2 Julai lalu dan ia telah ditutup dengan terpal.
Dia mendakwa See Her kemudian membina sebuah bangsal untuk menutup lubang berkenaan.
Sementara itu, polis St Paul berkata, wanita itu ditahan kerana disyaki melakukan pembunuhan.
Mayat Kou Yang ditemukan di bangsal pada Sabtu lalu dan pakar perubatan memaklumkan mangsa ditembak dua kali di bahagian belakang kepalanya. – AGENSI