HELSINKI: Seorang wanita mendakwa dia mempunyai bukti sudah pergi ke masa depan dan memberi amaran mengenai kehancuran manusia dalam video Instagram yang menyeramkan.
Lapor The Sun, wanita yang sudah berusia dari Finland, Chloe memberitahu dia sudah menjelajah ke tahun 6,000.
Dakwanya, pada 1966 dia sudah melakukan pengembaraan ke masa hadapan sebelum kembali semula dengan membawa bukti semua kehidupan akan musnah.
Menerusi klip video yang pelik, wanita itu mendakwa matahari akan berada dekat dengan bumi pada suatu hari sehingga peradaban akan hancur sebelum umat manusia kembali wujud selepas beribu tahun.
Selepas itu, manusia akan membangunkan utopia hijau baharu dan tinggal di bangunan tinggi dengan dinosaur berkeliaran di permukaan planet.
Wanita itu mengaku dia adalah pakar ekonomi di Makmal Sains Kebangsaan Finland semasa 1960 dan ditempatkan di dalam bahagian rahsia di makmal itu dan menjadi eksperimen perjalanan masa.
“Sudah tentu saya ingat peristiwa itu. 3 Ogos 1966. Saya duduk di kerusi mesin masa. Mereka ikat tangan dan kaki serta meletakkan tiub logam di atas kepala saya.
“Tiub itu bertujuan mengalirkan arus eletrik ke tangan. Saya masih ingat perasaan ketika itu, arus eletrik mengalir di semua badan saya sehingga saya tidak sedar. Beberapa saat kemudian, saya buka mata dan melihat berada di pertengahan jalan. Saya sudah mengembara ke tahun 6,000,” katanya.