PENNSYLVANIA: Seorang wanita yang mendakwa dia dijangkiti Covid-19 dan melepaskan batuk serta meludah terhadap sejumlah barangan di sebuah pasar raya pada tahun lalu dihukum penjara.
Dalam sesi perbicaraan, Margaret Ann Cirko, 37, mengaku besalah melakukan perbuatan tersebut di Pasar Raya Gerrity di sini.
Cirko memaklumkan dia melepaskan batuk ke arah sejumlah barangan segar, daging dan roti ketika berada di pasar raya tersebut.
Selain itu, wanita tersebut juga menjerit memberitahu dia sudah dijangkiti Covid-19, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung.
Menurut polis, Cirko sengaja melakukan ancaman verbal, selain batuk dan meludah ke arah sejumlah barangan.
“Wanita itu mahu semua pengunjung dalam pasar raya tersebut dijangkiti Covid-19. selain cuba mencuri beberapa kotak minuman sebelum dihalau keluar oleh petugas premis.
“Akibat perbuatan wanita itu, pasar raya tersebut mengalami kerugian kira-kira AS$35,000 (RM146,687) kerana perlu melupuskan barangan yang dicemari Cirko,” jelas polis.
Dalam pada itu, wanita tersebut memohon maaf atas perbuatannya dan menyesali dengan apa yang berlaku.
Cirko juga disahkan negatif Covid-19 ketika kejadian dan melakukan perbuatan itu kerana mabuk.
Wanita itu dihukum penjara selama dua tahun dan diarahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$30,00 (RM125,730) kepada pasar raya tersebut. – AGENSI