CHICAGO: Suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J) terbukti meningkatkan antibodi menentang koronavirus.
Berdasarkan data ujian awal yang melibatkan 17 orang, dos kedua vaksin J&J yang diberikan enam bulan selepas dos pertama boleh meningkatkan antibodi sehingga sembilan kali ganda.
Namun, syarikat tersebut tidak menetapkan tempoh masa bila suntikan kedua itu perlu diambil.
Laporan kajian itu dikeluarkan selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengumumkan keberkesanan vaksin Covid-19 secara keseluruhannya menurun selepas varian Delta menular.
Dalam pada itu, Ketua Kajian dan Pembangunan J&J, Mathai Mammen berkata, data tersebut secara tidak langsung menunjukkan vaksin keluaran mereka mampu meningkatkan antibodi pada tahap yang tinggi, terutamanya mereka yang sudah menerima dos pertama.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan pegawai kesihatan awam mengenai strategi penggunaan vaksin kami, sama ada boleh diberikan selang lapan bulan atau lebih lama selepas dos pertama,” katanya.
Beberapa pakar sebelum ini menyatakan mereka yang sudah menerima dos pertama vaksin J&J tidak perlu mendapatkan dos penggalak atau kedua. – REUTERS