COPENHAGEN: Golongan guru dan petugas sekolah seharusnya menjadi antara golongan utama yang perlu menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya sekolah di Eropah dan Asia Tengah boleh kekal dibuka.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan menegaskan, vaksin menjadi antara langkah paling berkesan untuk memastikan sesi persekolahan boleh dibuka sepanjang pandemik berlangsung.
Cadangan itu sudah pun dikemukakan oleh WHO pada November 2020 sebelum program vaksinasi dunia bermula.
WHO menyatakan adalah penting untuk memastikan sekolah terus dapat dibuka tanpa sebarang gangguan yang boleh menjejaskan sistem pendidikan.
“Langkah ini penting untuk memastikan pendidikan golongan kanak-kanak terus terjamin, selain untuk keperluan kesihatan mental dan kemahiran sosial.
“Pandemik menyebabkan sistem pendidikan terjejas teruk di seluruh dunia, malah paling teruk dalam sejarah,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, WHO turut menggesa semua negara untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia atas 12 tahun yang mempunyai penyakit dalam kadar segera bagi mengelakkan mereka terkena komplikasi Covid-19 yang serius jika dijangkiti.
WHO juga mengingatkan supaya mengambil pendekatan penting bagi memastikan persekitaran sekolah selamat untuk para pelajar.
Antaranya termasuk menyediakan sistem pengudaraan yang lancar, kelas yang lebih kecil, penjarakan sosial serta kekerapan ujian saringan Covid-19 terhadap para pelajar serta guru. – AFP