BEIJING: Nasib malang menimpa seorang tukang masak apabila dipatuk ular tedung sehingga maut semasa dia hendak membuang kepala binatang itu ke dalam tong sampah.
Lapor Daily Star, mangsa, Peng Fan dari Foshan berada di bahagian dapur restoran ketika sedang menyiapkan hidangan sup ular yang amat terkenal di bahagian selatan China.
Seorang pelanggan restoran, Lin Sun, 44, memberitahu, berlaku kekecohan semasa dia sedang menikmati hidangan dalam restoran semasa menyambut ulang tahun kelahiran isterinya.
“Kami tidak mengetahui apa yang berlaku tetapi terdengar jeritan dari arah dapur.
“Pekerja lain terus membuat panggilan kecemasan, namun, lelaki itu disahkan mati semasa pasukan perubatan tiba,” jelasnya.
Racun yang disemburkan oleh ular tedung boleh membawa maut dalam tempoh 30 minit kerana mengandungi neurotoksin dan menyebabkan mangsa menjadi lumpuh.
Pakar menjelaskan reptilia itu masih boleh bergerak selama satu jam walaupun sudah dibunuh.