ONTARIO: Satu kajian menunjukkan golongan dewasa yang menghabiskan masa lebih lapan jam sehari menonton televisyen mempunyai risiko tujuh kali lebih tinggi untuk diserang strok.
Kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Calgary itu memantau tahap kesihatan dan gaya hidup sebanyak 143,000 orang dewasa secara purata selama 9.4 tahun bagi setiap responden.
Kumpulan penyelidik itu mendapati, sebanyak 2,965 kes strok berlaku dalam tempoh tersebut dengan kadar lebih tinggi melibatkan responden yang menghabiskan lebih banyak masa melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, membaca buku dan bermain permainan video.
Situasi itu juga berlaku terhadap responden yang kurang bersenam.
Menurut Persatuan Jantung Amerika, golongan dewasa di negara itu menghabiskan masa secara purata 10.5 jam setiap hari untuk menonton televisyen, melihat telefon atau komputer dengan kebanyakan melibatkan mereka yang berusia 50 hingga 65 tahun.
Kajian terdahulu menunjukkan lebih banyak masa dihabiskan untuk melakukan aktiviti sedemikian, semakin tinggi untuk golongan dewasa menghidap penyakit kardiovaskular, termasuk strok.
Selain itu, sembilan daripada 10 serangan strok berlaku disebabkan oleh faktor risiko seperti duduk terlalu lama.
“Aktiviti masa senggang seperti menonton tekevisyen dalam tempoh yang panjang semakin meningkat dalam kalangan penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada,” menurut kajian yang diketuai oleh pakar neurologi Universiti Calgary, Raed Joundi.
Katanya, aktiviti tersebut sering dilakukan dalam keadaan berbaring atau duduk.